PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu penggiat seni yang terkesan dengan pandemik Covid-19, untuk mendapatkan kediaman menerusi permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Melalui perbincangan pada 10 Februari lalu antara Presiden Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid dan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid, kedua-dua pihak bersetuju menghantar permohonan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKTP).
Irama dalam kenyataannya memaklumkan, KKTP ada menyediakan satu program khas untuk membantu penggiat seni tanah air mendapatkan rumah PPRT dan menjadi harapan mereka agar permohonan itu diluluskan, memandangkan terdapat sebilangan penggiat kini benar-benar memerlukannya akibat sumber pencarian yang tidak menentu.
” Presiden Irama juga berusaha menyerahkan senarai nama 20 penggiat seni muzik yang terdiri dari penyanyi, komposer dan pegawai perhubungan awam (PRO).
“Finas sentiasa berusaha untuk lebih bersikap terbuka menerima cadangan dan membuat perbincangan bagi membantu penggiat seni agar nasib terbela dan dapat meneruskan hidup serta terus berkarya,” katanya.
Katanya, semua usaha itu hanya dapat dilakukan dengan sokongan dan kepercayaan dari semua pihak tanpa ada prejudis dan semangat ukhuwah yang tiada berbelah bagi.
“Penggiat seni dikategorikan sebagai insan kreatif dan pastinya mampu untuk jadi lebih inovatif.
“Adalah menjadi kebanggaan dan contoh yang baik kepada masyarakat jika penggiat seni sentiasa berganding bahu mencetus idea untuk disumbangkan kepada negara,” katanya.-Malaysiapost

