Nooryana bimbang kerajaan mahu hapus peranan ayahnya

0
2

ANAK Datuk Seri Najib Razak, Nooryana bimbang matlamat kerajaan dalam perbicaraan pertuduhan ayahnya bertujuan menghapuskan peranan bekas Perdana Menteri itu sebagai suara pembangkang.

Katanya, Najib kini dilihat sebagai seorang pembangkang yang amat berkesan dalam menyemak imbang kerajaan.

“Saya khuatir yang matlamat kerajaan dalam pertuduhan dan perbicaraan ini adalah bukan untuk menegakkan keadilan, namun untuk menghapuskan suara ayah saya yang lantang.

“Pemimpin kerajaan telah menyatakan bahawa kesinambungan pemerintahan mereka bergantung kepada hukuman ke atas Najib.

“Oleh itu kerajaan dan pihak pendakwaan akan cuba sedaya upaya mereka untuk menghukum ayah saya (Najib),” katanya seperti perkongsian Facebook Isham Jalil, hari ini.

Nooryana mendakwa sembilan bulan kebelakangan ini, mereka tidak dapat mematahkan perjuangan Najib dan ini mungkin peluang mereka.

“Mereka akan menggunakan semua instrumen yang ada, daripada saluran media kerajaan kepada saluran politik, untuk mencemarkan imej ayah saya supaya mudah mereka menjatuhkan hukuman bersalah ke atas beliau.

“Mereka telah melontarkan 42 pertuduhan ke atas ayah saya. Hanya satu sahaja pertuduhan perlu lekat atas alasan teknikal untuk mereka menutup mulut ayah saya, seorang yang paling kuat mengkritik kerajaan.

“Saya tidak tahu apa akan jadi kepada ayah saya selepas perbicaraan ini. Adakah beliau mampu terus bersabar dan bertahan?” katanya.

Beliau berkata, sebagai anak dia tahu setiap saat ketika Najib berada dalam kandang tertuduh pastinya akan memikirkan hal keluarga hingga ke hal rakyat.

“Saya tahu setiap saat ayah saya berada di dalam kandang tertuduh, beliau akan memikirkan tentang keluarganya, sahabat-sahabatnya, penyokong-penyokongnya, dan rakyat yang sentiasa di hati beliau.

“Anda adalah sumber kekuatan dan semangat ayah saya. Doa anda akan membantu beliau dalam mengharungi onak dan duri ini. Berdirilah bersama beliau ketika ayah saya menghadapi cabaran yang terbesar dalam hidupnya ini,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here