PENDERAAN merupakan perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana ia bertentangan dengan nilai kemanusiaan.
Individu yang melakukan kezaliman dan penganiayaan ke atas manusia mahupun binatang, tidak dapat ‘lari’ dari hukuman dunia serta azab yang ‘perit’ di akhirat kelak.
Dalam khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bertajuk “Hindari Perbuatan Penderaan.” menjelaskan bahawa mengikut catatan sejarah, masyarakat Arab zaman Jahiliah hidup dalam keadaan mundur dari segi akhlak dan sosial.
Mereka suka menzalimi golongan miskin dan lemah. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Malah tindakan mendera adalah tindakan yang dilarang dalam Islam.
Firman Allah SWT dalam surah As-Syura ayat 42, maksudnya:
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi tanpa alasan yang benar. Merekalah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Berdasarkan ayat ini, Allah mencela perbuatan zalim dan memberikan ancaman kepada golongan yang melakukan kezaliman dengan azab yang berat di akhirat kelak.
Perbuatan penderaan sering berlaku dalam masyarakat kita. Sebagai contoh, dalam sektor pekerjaan, terdapat majikan yang mendera pekerja mereka.
Dalam kebanyakan kes, mangsa penderaan akan mengalami kesan dari sudut fizikal dan mental seperti insomnia, kemurungan dan hilang ingatan. Lebih menyedihkan, sesetengah penderaan berkesudahan dengan kematian.
Negara kita pernah dikejutkan dengan kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia iaitu Nirmala Bonat pada tahun 2004. Pada tahun 2018 pula, seorang pembantu rumah warga Indonesia telah didera oleh majikannya namun berakhir dengan kematian sehari selepas dia diselamatkan dan menerima rawatan.
Kes-kes ini adalah contoh penderaan yang berlaku di dalam negara kita. Kes penderaan tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengguna pakai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat atau (UDHR).
Perkara 5 (UDHR) menyatakan “Tidak ada sesiapa pun boleh dikenakan penderaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghina.”
Selain itu, Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) telah menggunapakai Perkara 20 Perisytiharan Kaherah, yang menyatakan bahawa, “Adalah tidak dibenarkan seseorang individu menjalani penderaan fizikal atau psikologi, ataupun sebarang bentuk penghinaan, kekejaman atau pencabulan maruah.”
Sebagai negara anggota PBB dan OIC, negara kita bersetuju agar tidak ada individu yang terdedah kepada sebarang bentuk penderaan.
Selain itu, masyarakat perlu mengambil tanggungjawab menentang penderaan yang jelas bertentangan dengan nilai Islam dan kemanusiaan.
Mimbar ingin menyeru para pemimpin, majikan, pegawai penguat kuasa, penjawat awam atau ketua masyarakat untuk memastikan setiap ahli atau anggotanya tidak sesekali melakukan sebarang bentuk penderaan.
Mimbar juga berharap agar undang-undang yang menjamin keadilan dan menentang penderaan dapat diperkasakan bagi menjamin kehidupan masyarakat yang sejahtera, berlandaskan syariat Islam dan prinsip kemanusiaan sejagat.
Kesimpulan yang dapat kita ambil:
Pertama: Penderaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan pencabulan hak asasi manusia.
Kedua: Islam menganjurkan umatnya menentang penderaan dan melindungi orang-orang
yang dizalimi.
Ketiga: Islam menuntut kita berbuat baik terhadap sesiapa jua tanpa mengira latar
belakang seseorang. Sama-sama kita hayati firman Allah di dalam surah Al-A’raf ayat 44:
Maksudnya: “Dan (apabila ahli-ahli syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang dijanjikan kepada kami oleh tuhan kami, semuanya benar. Maka adakah kamu juga dapati apa yang telah dijanjikan oleh tuhan kamu benar?” Mereka menjawab: “Benar”. Lalu berserulah penyeru (malaikat) antara mereka.” -Malaysiapost

