Nurul Huda Abhar
BEBERAPA hari ini muncul ‘kata-kata pujukan’ daripada syarikat kurier tempatan yang ingin menambat kembali hati pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
Tular di media sosial poster syarikat kurier dengan ayat-ayat mencuit hati yang menarik perhatian umum dan rata-rata mereka menyatakan terhibur dengan penyampaian tersebut.
Antara tulisan yang mendapat perhatian adalah daripada Pos Laju iaitu “kembalilah kepadaku akan ku jaga dirimu”.

Selain itu, kata-kata daripada syarikat SkyNet turut menghiburkan apabila menulis “cinta itu buta, sebab itulah aku setia menunggumu”.

“Aku sentiasa menunggumu, tak mungkin aku sakiti hatimu,” tulisan daripada syarikat Gdex.

Muncul kata-kata pujukan itu berikutan ingin mengambil kembali kepercayaan pelanggan setelah tular baru-baru, J&T Express mencampak bungkusan yang dihantar.
Malah, syarikat J&T Express turut muncul dengan ayat pujukan “berikan aku peluang kedua, akan ku sambut cintamu ke dalam hatiku”.

Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.
Rakaman video berdurasi 15 saat di sebuah hub J&T Express turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.
Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri merosakkan barangan dalam bungkusan.
Susulan itu, pada 7 Febuari lalu, tujuh pekerja syarikat kurier J&T Express Perak membuat permohonan maaf berhubung satu rakaman video yang tular menunjukkan mereka mencampak barangan pelanggan di sebuah gudang simpanan syarikat itu.
Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi video berdurasi 57 saat yang dimuat naik di laman Facebook (FB) J&T Express Malaysia – Perak.
Sementara itu, J&T Express Malaysia Perak dalam kenyataan memohon maaf atas tindakan pekerja mereka semasa mengagihkan bungkusan dengan ganas dan tidak menyenangkan.
“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada para pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Disamping itu, pihak J&T Express juga ingin menjelaskan tiada pekerja yang mogok mengenai komisen. Segala yang berlaku adalah salah faham semata-mata,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/07/pekerja-jt-campak-barang-tampil-mohon-maaf/











