FWD Takaful, CUEPACS tambah RM5 juta untuk dana pejuang Covid-19 KKM

0
1

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik inisiatif FWD Takaful Berhad yang bersetuju menyalurkan tambahan RM5 juta ke dalam dana MOH FWD MY Heroes.

Dana tersebut untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata tuntutan dana MY Heroes yang keseluruhannya berjumlah RM10 juta itu juga dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini berikutan berlakunya peningkatan jangkitan dalam kes harian Covid-19 yang boleh meningkatkan risiko kepada petugas barisan hadapan KKM.

Adnan berkata, pihaknya berharap ketua-ketua jabatan di KKM dapat memaklumkan kepada semua kakitangan mereka mengenai dana MY Heroes, selain memudahkan urusan dokumentasi tuntutan.

Ini katanya, memandangkan terdapat sebahagian daripada lebih 4,500 petugas di kementerian terbabit dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

“Dana ini diuruskan Pusat Khidmat Tuntutan CuepacsCare dan sejak dilancarkan pada April tahun lalu sejumlah RM3.23 juta telah dibayar kepada petugas barisan hadapan KKM serta ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas melibatkan kira-kira 1,015 tuntutan.

“Pada mulanya MY Heroes memperuntukkan RM5 juta dan tambahan RM5 juta lagi dibuat kerana FWD Takaful dan CUEPACS sebagai inisiatif menyokong barisan hadapan KKM berikutan kes jangkitan harian Covid-19 yang bertambah kebelakangan ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Adnan, pembayaran ihsan dana MY Heroes sebanyak RM40,000 akan diberi sekiranya berlaku kematian kepada petugas barisan hadapan disebabkan jangkitan Covid-19, manakala RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad ICU, RM2,000 (wad biasa) dan RM10,000 untuk lain-lain punca kematian.

Dalam perkembangan lain, Adnan mewakili CUEPACS menarik semula kenyataan yang mendakwa kemungkinan wujudnya pegawai tertinggi mensabotaj kerajaan semasa melalui pelaksanaan pekeliling perkhidmatan berkaitan penjawat awam.

“Perkara ini sebenarnya tiada dalam konteks yang cuba disampaikan CUEPACS. Dalam hal ini kami mengakui tiada pegawai kerajaan yang bertindak mensabotaj kerajaan malah semua penjawat awam semakin fokus dalam membantu rakyat menangani cabaran Covid-19.

“JPA juga menjelaskan pekeliling perkhidmatan yang dikuatkuasa telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan CUEPACS menerima penjelasan tersebut.

“Justeru kenyataan CUEPACS sebelum ini adalah tersasar kerana tiada pemakluman dan CUEPACS memohon maaf atas kekhilafan tersebut.

“CUEPACS berharap semua pihak dalam perkhidmatan awam dapat terus bekerjasama dan berada dalam hubungan tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi memastikan sistem penyampaian kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here