MHC desak kerajaan batalkan SOP kuarantin menteri

0
1

GABUNGAN Kesihatan Malaysia (MHC) hari ini mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan perintah pengecualian yang membenarkan menteri menjalani kuarantin tiga hari selepas kembali dari lawatan rasmi luar negara.

MHC dalam kenyataan hari ini, menyatakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan itu yang disifatkan berlaku perbezaaan ‘dua darjat’ dalam pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Gabungan itu berkata, perintah kuarantin yang berkuatkuasa 9 Februari lalu itu sekali gus membezakan antara SOP menteri dan rakyat biasa yang diwajibkan kuarantin 10 hari.

“Alasan yang diberi oleh Menteri Kesihatan yang tidak memberi maklumat atau penjelasan munasabah tentang sebab, sains, bukti atau fakta yang menyokong keputusan ini.

“Oleh itu, kami hanya mampu mentafsir pada nilai muka dan kami menentang Perintah Pengecualian ini sekuat-kuatnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perintah pengecualian ini memaktubkan SOP yang tidak adil dan akan melemahkan usaha untuk mengawal pandemik Covid-19.

“SOP yang tidak berpandukan sains dan bukti akan menghakis keyakinan terhadap SOP.

“Penguatkuasaan SOP dua darjat akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik semakin merosot.

“Profesional kesihatan tidak mampu melawan Covid-19 tanpa kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara diberi pengecualian bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Pengecualian itu berkuatkuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan pada Isnin.

Dokumen perintah berjudul “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan perintah berkenaan, menteri berkaitan tidak perlu menjalani SOP tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/menteri-pulang-dari-luar-negara-tidak-perlu-dikuarantin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here