Lawatan rasmi luar negara bukan alasan menteri dikecualikan SOP

0
2

Nurul Huda Abhar

SUKAR untuk menjustifikasikan sudut moral keputusan penguatkuasaan baharu prosedur operasi standard (SOP) kuarantin bagi jemaah menteri yang dipendekkan dari 10 hari ke tiga hari sahaja.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, beliau tidak menafikan pentingnya hubungan diplomasi mahupun menidakkan pemimpin kerajaan mempunyai keperluan ke luar negara bagi tujuan rasmi yang dibuat demi kepentingan negara.

Bagaimanapun, beliau merasakan lawatan atau pertemuan fizikal jemaah menteri di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima peraturan berbeza daripada rakyat, khususnya berhubung proses kuarantin.

“Pertama, soal risiko penularan Covid, di mana umum mengetahui tempoh inkubasi melebihi 3 hari. Bayangkan kalau ada satu sahaja kes menteri yang positif setelah keluar negara dan tidak dikuarantin – apa sahaja penjelasan selepas itu tiada gunanya.

“Kedua, jika dikatakan risiko penularan dibendung kerana ‘travel bubble’ sekalipun, pengecualian ini dilihat tidak adil sedangkan rakyat kebanyakan tidak diberi kemudahan ini.

“Ketiga, pemimpin negara lain pun boleh patuh kepada SOP khususnya kuarantin setelah pulang ke negara mereka – kenapa pemimpin Malaysia tak boleh?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril juga mengambil contoh Perdana Menteri Australia Scott Morrison melawat Jepun pada Oktober lalu dan setelah tiba kembali ke tanah air, beliau menjalani kuarantin mandatori 14 hari sambil menyertai sesi Parlimen melalui video.

Menurut beliau, dari awal pandemik setahun dahulu, kerajaan menekankan pentingnya usaha bersama untuk mengatasi cabaran Covid-19.

“Maka jika benar ia usaha bersama, seberapa boleh, pemimpin kerajaan wajar meletakkan diri mereka melalui peraturan sama dengan rakyat yang bersusah dan berkorban jauh lebih besar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/02/isu-curi-dan-beli-umno-takkan-mohon-maaf-pada-bersatu-shahril/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here