Covid-19: Daudsu pilih e-sukan untuk teruskan kelangsungan hidup

0
1

BEKAS anggota skuad Treble Kelantan 2012, Daudsu Jamaluddin menjadikan hobinya yang gemar bermain permainan video dalam talian sebagai platform untuk menjana pendapatan.

Katanya, pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap kariernya di samping jodohnya bersama Kelantan United juga tidak panjang menyebabkan beliau memilih dunia e-sukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Selepas bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun lepas, saya dah mula berfikir agaknya macam manalah karier saya selepas ini, dengan pasukan juga mestilah nak lebih berjimat pada musim 2021.

“Jadi sekarang, saya nak fokus dengan permainan video terlebih dahulu, di mana saya sekarang ada laman Facebook sendiri iaitu DwoodsuxGaming sebagai pereka video permainan dan Alhamdulillah setakat ini sudah mempunyai pengikut melebihi 8,000 orang.

“Saya harap bidang e-sukan ini dapatlah membantu sedikit sebanyak daripada segi kewangan dan semoga yang lebih baik untuk semua yang turut terjejas akibat pandemik ini,” katanya seperti dilapor Vocket FC.

Kesan Covid-19 turut memberi impak kepada bekas pertahanan pasukan Kuala Lumpur, Raimi Mohd Nor yang kini membantu perniagaan bapanya sebagai kontraktor apabila turut tidak mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan pada musim ini.

Katanya, apa yang dihadapi olehnya dan beberapa pemain lain yang tidak mendapat tawaran cukup membuktikan bahawa akan lebih ramai lagi yang bakal hilang pekerjaan sekiranya Liga Malaysia dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

“Sekarang saya dan beberapa rakan lain tiada pasukan, tetapi cuba bayangkan kalau Liga Malaysia dibatalkan, sudah pasti ramai lagi yang akan hilang punca pendapatan, bukan saya seorang.

“Sekarang dengan faktor umur saya yang kini 35 tahun dan ditambah lagi dengan situasi Covid-19, memang saya sedar susah untuk terus terlibat dalam Liga Malaysia, dan mahu atau tidak, kena cari alternatif lain,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/langkah-mfl-tunda-liga-m-disambut-baik/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here