Warga Indonesia pasang Jalur Gemilang terbalik didenda RM400

0
1

HANYA RM400! Itu denda dikenakan oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini terhadap seorang pekerja restoran yang mengaku bersalah memasang Jalur Gemilang secara terbalik, Ogos tahun lalu.

Warga Indonesia, Obas Edwin Tulame, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah restoran makanan laut di Kubota Square, Jalan Kubota, kira-kira jam 11.15 pagi, pada 13 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama kerana melakukan mudarat awam serta menyebabkan kegusaran am kepada orang awam, jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga RM400.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinawati Ag Kachee, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran, selain memberi kesedaran kepada masyarakat umum.

“Walaupun hukuman tidak tinggi, kesalahan ini sangat serius kerana membabitkan bendera kebangsaan.

“Tertuduh sepatutnya lebih mengambil perhatian atau ambil tahu kedudukan bendera yang dipasang memandangkan tertuduh bekerja di sini walaupun bukan berasal dari negara ini,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut sama ada denda dibayar atau pun tidak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here