RUSA bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), maka penjualan haiwan itu oleh Zoo Negara kepada pihak lain adalah mematuhi prosedur.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan hari ini memberitahu, Zoo Negara perlu mendapatkan lesen atau permit khas daripada jabatan itu bagi penjualan atau pembelian mana-mana spesies hidupan liar di bawah Akta 716.
“Bagaimanapun, rusa bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah Akta 716. Oleh itu, penjualannya oleh Zoo Negara tidak tertakluk kepada Akta 716,” katanya.
Perhilitan juga memaklumkan Zoo Negara dalam mesyuarat dengan jabatan itu pada 3 Februari lalu, menjelaskan penjualan haiwan itu sebahagian daripada pengurusan stok.
Tindakan itu kerana stok sedia ada sebanyak lebih 50 ekor rusa bintik melebihi keperluan Zoo Negara, selain dapat mengoptimumkan kos pengurusan terutama dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19.
“Pada masa sama, bagi membantu meringankan beban pihak Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) termasuk Zoo Negara yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) telah memberikan diskaun bil elektrik 10 peratus bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2021,” lapor Bernama.
Menjelas lanjut, Perhilitan memaklumkan Zoo Negara beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diuruskan oleh Malaysian Zoological Society (MZS) dan diberikan permit pengendalian zoo di bawah Akta 716 oleh jabatan tersebut.
Perhilitan mengeluarkan kenyataan berkenaan bagi memberi maklum balas kepada laporan sebuah portal tempatan pada 4 Februari lalu, mengenai penjualan rusa bintik (Rusa Axis) oleh Zoo Negara kepada syarikat swasta yang dikatakan tidak mematuhi prosedur ditetapkan.-Malaysiapost

