Buku Tommy Thomas banyak aspek karut – Takiyuddin 

0
1

SEMUA pegawai perundangan dan kehakiman Malaysia diminta terus menjayakan tanggungjawab dan amanah yang diberi bagi mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara dan mahkamah pastinya terkesan dengan buku biografi tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menurutnya, kandungan dan intipati buku itu banyak aspek ‘karut’ terutama sekali yang menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan warga Jabatan Peguam Negara dan mahkamah di seluruh pelusuk negara. 

“Sebagai bekas Pegawai Undang-Undang di mahkamah dan Ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA), saya percaya setiap pegawai undang-undang yang berkhidmat akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip utama undang-undang. 

“Dengan berpegang kepada prinsip tersebut, kita akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan.

“Sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak yang menjurus ke arah menjejaskan integriti dan tugasan pegawai undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Takiyuddin berpendapat, penulisan buku itu jelas menjurus kepada unsur ‘penghinaan’ serta bersifat “mala fide” yang akibatnya telah menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara amnya dan pegawai-pegawai undang-undang khasnya. 

“Adalah amat jelas pada umumnya Jabatan Peguam Negara dan mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar mahupun kritikan yang membina. 

“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 

Menurutnya, teguran yang membina boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman dan perundangan, namun hendaklah dibuat dengan niat ikhlas dan tidak melampaui batas. 

“Saya yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan mahkamah tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

“Setiap tugasan yang dilaksanakan mereka adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat (expressly and impliedly), tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh dari bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak. 

“Justeru itu saya memberi jaminan pihak Kerajaan akan sentiasa memerhatikan dan bertindak mengikut undang-undang terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawai-pegawainya,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here