Anggota polis antara 3 maut kemalangan dengan trak tentera

0
1

SEORANG anggota polis antara tiga maut dalam kemalangan negeri membabitkan tiga kenderaan termasuk trak tentera di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran, Sabah hari ini.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu melibatkan Perodua Kancil, motosikal Yamaha Ego S dan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemandu kereta, Koperal Shamsully Adly, 45, yang dikatakan baru selesai bertugas di Balai Polis Kota Belud dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di perumahan Bolong, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi yang maut di lokasi kejadian adalah penunggang motosikal, Deny Lee Saipun, 25, dan pemboncengnya, IL Yasa Samsudin, 35, manakala pemandu trak tentera tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata siasatan awal mendapati, trak tentera itu dipandu anggota ATM berusia 24 tahun yang dalam perjalanan dari arah Tamparuli menuju ke Tenghilan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang dua lelaki tiba-tiba keluar dari arah simpang Jalan Marabahai Spur iaitu di hadapan sebelah kiri trak ATM.

“Akibat kejadian itu pemandu trak tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal terbabit sehingga terseret ke lorong laluan arah bertentangan,” katanya.

Menurutnya, penunggang bersama pembonceng motosikal turut terseret ke lorong laluan susur sehingga mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pada masa sama, trak terbabit bertembung dengan Perodua Kancil dari arah Tenghilan di susur jalan bertentangan sehingga mengheret kenderaan itu hingga ke atas pembahagi jalan.

“Pemandu kereta terperangkap di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/bertengkar-di-jalan-raya-polis-terima-laporan-kakitangan-upm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here