PUTERI Umno hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung pendedahanya berkaitan rahsia kerajaan dan negara melalui buku memoirnya, “My Story: Justice in the Wildernes”.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur adalah berkaitan salah laku yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu.
“Saya merujuk kepada buku tulisan TS Tommy Thomas bertajuk “Justice in the Widerness” yg diterbitkan dan diedarkan oleh GerakBudaya.
“Petikan bab dalam buku tersebut telah diedarkan melalui berbagai media. Juga beberapa tajuk bab buku tersebut menunjukkan bahawa kandungannya banyak berkait dengan hal kerahsiaan kerajaan dan negara.
“Ini termasuklah berkenaan perbincangan dan nasihat yang diberikannya kepada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan penjawat kerajaan lain,” katanya menerusi Facebooknya.
Zahida berkata, maklumat tersebut berkait dengan maklumat yang diperolehinya dalam bidang tugas sebagai peguam negara di antara tahun 2018 hingga 2020.
“Ia seperti tajuk bab berikut: Najib’s SRC Trial, 1MDB, IPIC, Equanimity, Goldman Sachs, King and Rulers, Altantuya, Representations and Non-1MBD Prosecution, Racism and Adib and LTTE.
“Tajuk-tajuk tersebut juga menunjukkan pendedahan maklumat sensitif masyarakat majmuk Malaysia dan berupa hasutan.
“Dia telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi debgan melanggar dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah seksyen. 18 OSA,” katanya.
Beliau turut percaya Tommy juga telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana maklumat yang didedahkan dalam buku tersebut adalah dari pelaksanaan tugasnya atau semasa menjalankan fungsinya sebagai Peguam Negara.
“Dia juga menghasut dan membangkitkan kebencian antara kaum dan terhadap badan-badan kerajaan yang kononnya di dominasi oleh bangsa Melayu yang tidak berkelayakan.
“Dia juga menghina dan membuat fitnah jenayah terhadap agensi kerajaan dan pegawai-pegawainya yg merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 499 Kanun Keseksaan,” katanya
Sehubungan itu, beliau memohon pihak polis menyiasat perkara ini dan mendakwanya dengan berbagai kesalahan yg telah didedahkan tersebut. -Malaysiapost

