Kenapa kait bapa dalam peristiwa 13 Mei? – Nazir Razak

0
1

BEKAS Pengerusi CIMB Bank Group Bhd, Datuk Seri Nazir Razak terkilan dengan tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengaitkan insiden 13 Mei dengan bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di dalam bukunya.

Anak bongsu kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua itu berkata apa yang dipaparkan Thomas dalam buku My Story: Justice In The Wilderness itu berbentuk sangkaan semata-mata dan tidak disokong dengan bukti.

“Ini sangkaan semata-mata. Lima puluh tahun kemudian dan tanpa sedikit pun bukti yang boleh dipercayai dibawa untuk menyokong pandangan ini,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Katanya, Thomas sekadar bergantung kepada kenyataan bahawa bapanya adalah individu yang paling mendapat faedah daripada rusuhan tersebut dan tergesa-gesa mahu menjadi Perdana Menteri selepas diberitahu sedang berdepan masalah kesihatan.

“Ini bukanlah ‘bukti’ sama sekali, apa lagi bersifat perundangan,” katanya.

Dalam buku itu kata Nazir, Thomas juga memberitahu dia tertanya-tanya mengapa Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra melantik Abdul Razak sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sedangkan kata Nazir Abdul Razak dilantik atas kemahuan Tunku sendiri berdasarkan pada ketika itu ia adalah pilihan terbaik.

Tunku juga, kata Nazir, menyokong pelantikan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Dr Ismail Abdul Rahman, untuk membantu Abdul Razak.

Walaupun mengakui setiap orang berhak menyatakan pandangan masing-masing Nazir berkata, dia berpendapat perlu bersuara berbeza daripada Thomas kerana peguam terbabit sebelum ini memegang jawatan perundangan tertinggi dalam kerajaan.

“Perlu ditegaskan bahawa peristiwa ini (13 Mei) berlaku lama sebelum dia menjadi peguam dan kakitangan kerajaan pada ketika itu banyak memperkatakan kepemimpinan serta integriti peribadi Tun Razak serta usahanya mengembalikan keamanan dan kestabilan, melancarkan reformasi dan memulihkan parlimen,” katanya.-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/buku-tommy-thomas-hina-institusi-perundangan-peguam-negara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here