Jersi home Selangor FC laku keras

0
2

LEBIH setengah juta ringgit diperoleh Kelab Bola Sepak Selangor FC selepas 6,000 helai jersi ‘home’ pasukan itu habis terjual dalam tempoh 48 jam.

Menggunakan elemen ‘Legasi Mokhtar Dahari’ dalam rekaan jersi berunsur retro itu, ia pantas mendapat pujian daripada peminat bola sepak tanah air.

Jersi retro yang simbolik dan penuh bersejarah itu dijual menerusi laman sesawang SelangorFC.com dengan harga RM109 sejak kelmarin dan ia secara rasmi habis terjual pada jam 3.30 petang tadi.

Dengan terjualnya semua jersi edisi pemain berkenaan, Selangor FC memperoleh RM654,000 dan bagi edisi penyokong ia hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Sebelum ini dalam kenyataan, Selangor FC menyatakankan reka bentuk jersi itu diinspirasikan daripada rekaan jersi yang digunakan pasukan Selangor ketika menjadi juara Piala Malaysia pada 1986 iaitu kejuaraan ke-27.

Katanya, jersi home bagi musim 2021 ini masih mengekalkan beberapa elemen penting daripada tahun 1986.

“Warna jersi merah, kuning dan hijau di jersi ini diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang pada ketika itu Raja Muda Selangor serta penyokong nombor satu pasukan Selangor.

“Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan di bahagian kanan dada seperti jersi asal bagi mengetengahkan elemen retro bagi jersi home musim ini.

“Walaupun tema dan konsep jersi Home 2021 berlandaskan unsur retro, terdapat beberapa elemen moden yang digarap supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari.

“Antara perbezaan terbesar di antara jersi musim 2021 dengan jersi asal adalah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi yang melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung (mimusops elengi),” kata kenyataan itu.

Edisi musim 2021 juga mempunyai bendera ‘quarterfly’ merah kuning pada bahagian dada dan riben bertulisan “85 Years Creating A Legacy” yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena sambutan 85 tahun penubuhan pasukan bola sepak itu.

Malah, lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi sebagai tanda penghargaan kepada legenda bola sepak Malaysia dan Selangor, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang menyarung jersi itu ketika menjulang kejuaraan terakhirnya bersama skuad Gergasi Merah.-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/27/liga-m-ditunda-5-mac/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here