MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyokong pindaan Akta 342 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi membolehkan kadar kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan.
Beliau berkata, kadar kompaun lebih tinggi bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya ia sebagai pengajaran supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan diri dan keluarga masing-masing mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kita setuju kadar kompaun dinaikkan lebih tinggi, bukan kata (sengaja) mahu kompaun rakyat, tetapi supaya mereka ada rasa tanggungjawab.
“Seperti yang kita semua tahu, perkara ini akan diteliti pihak Peguam Negara dan terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menentukannya,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Sebelum ini Malaysiapost melaporkan seorang peguam mencadangkan kerajaan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 atas kesalahan ingkar PKP, khususnya yang disengajakan seperti operasi pusat hiburan.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menjelaskan jumlah maksimum RM10,000 itu juga bagi memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat penilaian sama ada kesalahan itu serius atau tidak, selain berdasarkan bentuk kesalahan serta kemampuan pihak yang melakukan kesalahan. -Malaysiapost
Foto Kredit: Awani
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/peguam-cadang-kompaun-maksimum-ingkar-sop-pkp-dinaikkan-kepada-rm10000/

