
WARTAWAN sensasi, Ibu Yati hadir memberikan keterangan lebih dua jam di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu dakwaan ajaran agama Melayu.
Proses keterangan itu bermula jam 10.15 pagi hingga 1 tengah hari di Bahagian Pembangunan dan Penyelidikan JAIS.
Ibu Yati atau nama sebenar Wan Norhayati Wan Alias mendakwa, perkara itu terjadi selepas video tersebut telah dimanipulasi dengan pelbagai andaian tanpa sebarang usul periksa memandangkan rakaman itu lebih bersifat dokumentari berkaitan alat muzik, gong.
Katanya, video itu dibuat hasil kajian daripada pihaknya sendiri berkaitan paluan gong yang bukan sahaja digunakan untuk istiadat pertabalan raja, malah ketika konvokesyen dan muzik untuk hiburan.
Malah, dakwanya ritual api itu sebenarnya dilakukan kumpulan lain yang berzikir dan mengeluarkan api sebelum diambil sebagai kandungan video dalam menarik rating dokumentari itu.
“Jadi, adakah palu gong itu sesat dan perkataan ‘ila ha ila ra ila ma’ itu tercatat serta direkodkan dalam kitab atau manuskrip lama Melayu yang ketika ini disimpan di sebuah muzium di London, England.
“Saya tidak pernah mengisytiharkan agama baru atau agama ajaran melayu,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Kata Ibu Yati, kajian berkenaan itu dimulakan selepas ke muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan banyak bahan sejarah hilang selepas kedatangan Arab ke Tanah Melayu.
“Saya cuma tidak mahu nilai estetika Melayu itu hilang dengan ramai orang tidak mengetahui mengenai istiadat paluan gong itu.
“Tambahan, saya bekas wartawan dan mempunyai mekanisma pengumpulan maklumat sendiri serta mengambil daripada sumber yang sahih sahaja.
“Jadi, kalau gong salah, fatwakan paluan gong itu salah agar semua tidak boleh menggunakannya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan ajaran baharu dikenali ‘Agama Melayu’ yang didakwa sebagai sesat lagi menyesatkan.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/polis-buka-kertas-siasatan-kes-agama-melayu/
