Angkara PKP, gadis buntu gagal dapatkan wali hakim

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja merencatkan segala aktiviti harian masyarakat, malah mengganggu proses seorang bakal isteri mendapatkan wali hakim.

Menerusi perkongsian di laman Tiktok, gadis dikenali sebagai Farra Kasim meluahkan perasaan kecewa susulan usahanya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim sering kali menemui jalan buntu.

Menurut Farra, gara-gara prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang PKP kali ini, dia gagal menemui abangnya yang berada di penjara.

Tambah Farra lagi, dia perlu menyerahkan dokumen kebenaran menggunakan wali hakim kepada abangnya, namun situasi terkini negara tidak membenarkannya melawat abangnya di penjara.

Dalam video yang dimuat naik itu, kelihatan Farra amat tertekan dan tidak dapat menahan sebak sambil mengelap air mata yang berjujuran dengan tisu.

“Doakan aku, aku dah patah semangat dah ya Allah. Bukan senang nak bina masjid, hati kena kuat.

“Korang tahu tak hari ni aku ingat aku dah boleh setel (selesaikan) masalah aku untuk menggunakan wali hakim, lepas tu angkat sumpah dan untuk proses pernikahan nanti.

“Aku dah guna peguam untuk setelkan masalah ini, dah bayar RM300 pun, tapi still tak boleh, kerani tu cakap aku kena jumpa abang aku di penjara. Masalahnya pihak penjara tak bagi masuk, aku dah pernah pergi dah,” luah Farra sambil teresak-esak menahan tangis.

Meskipun tarikh pernikahannya hanya tinggal kira-kira sebulan lagi, Farra berkata, dia tidak patah semangat dan menganggap ia dugaan untuk mendirikan rumah tangga dengan insan tercinta.

Kisah Farra yang bergelut untuk mendaftarkan wali hakim pernikahannya telah menarik perhatian warganet yang rata-rata amat bersimpati dengan dugaan dihadapinya.

Ramai yang memberikan sokongan dan nasihat kepada Farra supaya tabah dan sabar dengan rintangan menuju ke gerbang perkahwinan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here