DUTI hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema di Selangor diberikan pengecualian penuh oleh kerajaan negeri berkuat kuasa 18 Mac tahun lalu sehingga 31 Disember ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pelaksanaan itu akan memberi anggaran impak kewangan RM26.35 juta kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di Selangor selama lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.
“Implikasi daripada pengurangan kadar ini, kerajaan negeri dianggar kehilangan hasil RM21.04 juta setahun untuk tempoh lima tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pengecualian diberi susulan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu yang memberi kesan kepada pelbagai sektor.
“Ini termasuk pengangkutan dan pelancongan terutama pendapatan pengusaha taman tema memandangkan ia terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Amirudin berkata, pengusaha taman tema adalah antara penggerak utama dalam merancakkan industri pelancongan di negeri itu yang turut meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, terutama generasi muda melalui peluang pekerjaan.
Katanya, perkembangan industri pelancongan berbentuk taman tema akan mempunyai kesan berganda ke sektor pelancongan lain seperti agensi pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan sebagainya.
“Pengusaha taman tema memerlukan ‘kos pelaburan semula’ yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan yang lain.
“Pengecualian ini diberi selepas mengambil kira bilangan taman tema yang menjadi tarikan pelancongan di Selangor seperti di Shah Alam, Putrajaya, Sunway dan Bangi serta bebanan kewangan dihadapi sejak pelaksanaan PKP.
“Diharapkan kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin serta nasib pekerja terutama dalam sektor pelancongan lebih terbela dengan kelonggaran ini,” katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian terbaik bagi membantu meringankan kesusahan rakyat menghadapi saat getir ini. – Malaysiapost

