DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mengecam sindiran Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan situasi darurat di Myanmar sama seperti yang berlaku di Malaysia.
Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan berkata, situasi darurat yang menyebabkan Parlimen digantung setahun di Myanmar jelas berbeza dengan Malaysia yang memberi fokus untuk memerangi wabak pandemik Covid-19.
“Mungkin Setiausaha Agung PKR tersebut terlepas pandang beberapa perkara dek sibuk mencari jalan untuk meletakkan Presiden partinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Pertama, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk mengekang wabak Covid-19 dengan mengelakkan berlakunya sebarang Pilihanraya Kecil atau Pilihanraya Umum pada waktu pandemik yang diunjurkan bakal melebihi 5000 kes harian pada waktu itu.
“Faktanya hari ini, negara telah melihat unjuran menjadi kenyataan apabila 5, 000 kes harian dicatatkan selama tiga hari berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Shahir lagi, perlaksanaan proklamasi darurat di Malaysia sejak 11 Januari lalu tidak bermotifkan politik seperti mana yang berlaku di Myanmar ketika ini.
“Kedua, pengisytiharan darurat di negara kita tidak bermotifkan politik apabila tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang ditahan.
“Ini berbeza dengan darurat di Myanmar apabila Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan pemimpin politik kanan yang lain ditahan pihak tentera.
“Pemimpin pembangkang di Malaysia tidak ditangkap, ditekan atau dikenakan sebarang tindakan,” jelas Shahir.
Menurut Shahir, perlaksanaan proklamasi darurat di Malaysia adalah untuk mengelakkan gangguan politik dengan khabar angin pihak-pihak tertentu yang kononnya mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen bagi merampas tampuk pemerintahan negara.
“Ketiga, pengisytiharan darurat di negara kita bertujuan untuk menfokuskan kepada penyelesaian Covid-19 agar semua pihak, termasuklah di barisan hadapan, tidak terjerumus dengan mainan politik pembangkang yang setiap minggu bercakap mengenai pertukaran Perdana Menteri tanpa bukti kukuh.
“Sehingga hari ini, sokongan “strong, formidable and convincing” dari ahli Parlimen masih cakap-cakap kosong,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu memberi kenyataan yang seolah-olah menyindir kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyifatkan perlaksanaan proklamasi darurat sejak tiga minggu lalu sama seperti situasi darurat di Myanmar yang turut menggantung Parlimen.
Justeru, Shahir menggesa agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam membantu usaha barisan hadapan negara membendung wabak pandemik Covid-19 yang sedang mengganas ketika ini.
“Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat.
“Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan.
“Tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ianya bakal meranapkan ekonomi negara,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/saifuddin-sindir-kerajaan-pn-pergolakan-di-myanmar-sama-seperti-di-malaysia/

