AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung dakwaan beliau termasuk beberapa individu lain menentang Pengisytiharan Darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkannya.
Presiden PKR itu berkata, beliau hairan dengan tindakan Menteri terbabit yang disifatkan tidak meneliti sebetul-betulnya kenyataannya.
“Kenyataan awal beliau itu agak pelik, dia kata saya dan beberapa orang lain akan disiasat kerana menghasut rakyat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong.
“Pak menteri baca kenyataan dan surat kita kepada Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka di-Pertuan Agong…apa yang kita sebut ‘merayu’, ‘memohon’ ihsan dan kebijaksanaan… Tak faham bahasa ka?
“Memohon… Merayu itu meminta ihsan dan kebijaksanaan Tuanku menimbang…apakah itu bunyi desakan…apakah rakyat biasa jangan fikirkan saya sebagai Ketua Pembangkang tapi rakyat…tukang cuci…barisan hadapan…pekerja-pekerja biasa yang tidak boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya mempengaruhi dan memperbaiki keadaan, hal-hal yang kita tidak setuju,” katanya dalam siaran langsung bicara Anwar Ibrahim di Facebook rasminya.
Beliau turut mempersoalkan bahawa rakyat ini tidak boleh menolak sesuatu tindakan dari kerajaan?
“Apakah rakyat mesti menyokong semua tindakan kerajaan? Yang kita bantah itu keputusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
“Kedua, harus ingat bahawa yang bersetuju itu 114 orang tetap dan mungkin sampai 115 maknanya majoriti Ahli Parlimen…yang membuktikan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti sebab itu Parlimen digantung…jika diadakan Parlimen yang menentang atau minta dikaji semula darurat terutamanya penggantungan Parlimen itu.
“Jadi sepatutnya Menteri teliti hal ini, tak payah ugut kita…undang-undang apa dalam negara kita, Perlembagaan mana yang tidak membolehkan rakyat memohon ihsan, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam apa-apa perkara pun,” tegasnya.
Anwar turut meminta pemimpin kerajaan supaya adil dan saksama dan jangan gunakan ugutan sebagai senjata.
“Dan untuk sekadar mengugut satu atau tiga dua orang, tidak munasabah…yang membawa kes ini ke mahkamah, saya bagi pihak Pakatan Harapan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan juga ahli NGO termasuk Bersih yang telah kemukakan atau akan kemukakan rayuan di mahkamah.
“Apakah mengemukakan fail petisyen di mahkamah itu juga dianggap menyalahi undang-undang jadi saya harap pimpinan negara ini jangan guna ugutan. Kamu sudah kalah dalam pertarungan politik…sudah hilang majoriti dan hadapi kenyataan ini dalam suasana demokratik dan jangan guna ugutan… Saya akan bagi kerjasama kepada semua pihak termasuk pihak polis kalau ada alasan perundangan bukan ikut alasan Menteri.
“Ini kerana Menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah mengarah. Saya harap polis dapat menjalankan tugas secara profesional dan kita akan memberi kerjasama sebaik mungkin,” katanya.
Hari ini, Hamzah mengesahkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan polis dibuat di seluruh negara ke atas Ketua Pembangkang kerana didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

