Ingkar PKP: Hukuman penjara lebih wajar – Musa Hassan

0
2

INDIVIDU atau syarikat yang berdegil apabila melakukan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berulang wajar dikenakan hukuman penjara.

Pendapat itu dilontarkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika kerajaan sedang meneliti untuk meningkatkan hukuman khususnya kadar kompaun terhadap pihak yang ingar SOP PKP.

Musa memberitahu Malaysiapost, bentuk hukuman bagaimanapun perlu ditentukan berdasarkan jenis kesalahan.

Beliau memberi contoh, kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul atau duduk berkumpul tepi jalan, pertimbangan sewajarnya perlu diambil termasuk menasihat.

“Mereka yang patut dikenakan tindakan keras adalah seperti pemilik pusat hiburan yang berdegil dan terus beroperasi walaupun beberapa kali dikenakan kompaun.

“Pesalah ini bukan hanya perlu dikenakan denda yang lebih tinggi, tetapi perlu dikenakan hukuman penjara agar jadi pengajaran terhadap pihak lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tindakan sama perlu dikenakan terhadap majikan termasuk pemilik kilang yang gagal memastikan pematuhan SOP oleh pekerja hingga bukan sahaja membahayakan kesihatan pekerja mereka, malah masyarakat setempat.

“Pada pandangan saya, nilai kompaun maksimum ketika ini iaitu RM1,000 wajar dinaikkan kepada RM5,000 namun hukuman penjara perlu kepada pihak yang degil terutama yang melakukan kesalahan sama berulang kali.

“Bagaimanapun, jangan samakan semua hukuman bagi setiap kesalahan kerana pertimbangan sewajarnya perlu bagi rakyat biasa yang kebanyakannya mengalami kesempitan hidup akibat Covid-19,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengubal hukuman lebih berat melalui Ordinan Darurat bagi kesalahan individu atau syarikat yang gagal mematuhi SOP sepanjang PKP.

Ia susulan masih ramai yang ingkar dan ditahan kerana melanggar SOP berkenaan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

  1. https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/peguam-cadang-kompaun-maksimum-ingkar-sop-pkp-dinaikkan-kepada-rm10000/
  2. https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/naikkan-kompaun-pkp-tiada-keperluan-hanya-tambah-kebencian/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here