PENINGKATAN mendadak kes Covid-19 di Terengganu adalah berpunca daripada pergerakan rentas negeri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan itu dikesan bermula 14 Januari lalu, iaitu dua minggu selepas cuti tahun baru di mana terdapat pergerakan rentas negeri dari zon merah ke Terengganu.
Menurutnya, setakat ini rerdapat lima kluster yang melibatkan kes pergerakan rentas negeri ke Terengganu yang dilaporkan selepas 7 Disember 2020.
“Kluster-kluster berkenaan ialah Kluster Mengkuang, Kluster Palut, Kluster Kampung Bukit Piah, Kluster Kampung Guntong Luar, Kluster Tembok Bukit Besi dan Kluster Tersat.
“Manakala peningkatan kes baharu penularan tempatan menunjukkan telah berlaku transmisi dalam komuniti di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini
Dr Noor Hisham membuat lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir sama dalam lawatan itu, ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, yang telah memberikan taklimat ringkas mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri Terengganu.
Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Terengganu adalah sebanyak 2,142 kes dengan empat kematian.
“Sebanyak 1,817 kes (84.8%) daripada jumlah kumulatif kes dan tiga kematian Covid-19 di negeri ini adalah kes tahun 2021.
“Sehingga semalam, terdapat 772 kes aktif di mana 768 kes berada dalam keadaan stabil, manakala, empat kes sedang menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kesemuanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau mengingatkan agar pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dilakukan oleh semua pihak, tanpa mengira kedudukan, dalam memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.
Sementara itu, bercakap mengenai Klinik Kesihatan Chendering, beliau berkata, klinik baharu itu telah memulakan operasi pada 3 November 2020 dengan kekuatan 77 anggota pelbagai skim perkhidmatan dengan liputan perkhidmatan fasiliti berkenaan adalah bagi 104,746 penduduk. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

