OPERASI kilang roti Massimo di Klang digantung sebagai sebahagian langkah pencegahan Covid-19 atas arahan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Massimo Bread menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, operasinya terjejas sementara sebagai langkah pencegahan sejajar syarat pihak berkuasa tempatan tersebut.
Pengeluar roti juga berharap pelanggannya memahami situasi tersebut dan langkah menghentikan sementara operasinya adalah perlu bagi mengekang penularan Covid-19.
Menerusi komen di hantaran tersebut, pengguna media sosial memaklumkan mereka sukar mendapatkan bekalan roti Massimo terutama di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sejak minggu lalu.
Terdahulu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup 37 kilang susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dipetik Selangorkini berkata penutupan itu hasil pemeriksaan terhadap 104 premis bersama Pejabat Kesihatan Daerah Klang sejak Mac tahun lalu sehingga Rabu lalu.
“Pemantauan lebih tegas diambil ke atas kilang berkaitan memandangkan pekerja dalam sektor ini menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 yang berlaku di Klang,” katanya.
Beliau berkata pemantauan pematuhan SOP diperluaskan ke kawasan perkilangan setelah sektor berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Kita membuat empat penilaian risiko sebelum mengambil tindakan iaitu risiko merebaknya Covid-19 di tempat kerja atau asrama pekerja serta faktor persekitaran dan manusia.
“Seterusnya ialah amalan kawalan kendiri di kalangan pekerja dan syarikat serta prosedur tindakan setelah berlaku kes dalam kalangan pekerja,” katanya. – Malaysiapost

