KERAJAAN perlu melihat semula apa yang berlaku dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan sejak 13 Januari lalu kerana ia jelas tidak menurunkan jangkitan Covid-19.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata orang ramai perlu menyoal kerajaan apa baiknya pelaksanaan darurat sejak dua minggu lalu sedangkan kes harian terus meningkat.
“Menghampiri 6,000 kes. PKP dah lebih dua minggu, darurat dah dekat dua minggu, kes jangkitan terus meningkat.
“Kena tengok balik apa jadi kepada PKP. Kena soal juga apa baiknya darurat kepada usaha kurangkan jangkitan. Atau ini kes sakit lain, ubat pula lain.
“Sementara itu, mari kita sama berpesan jaga diri, jaga famili, jaga kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam sebanyak 5,725 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia, iaitu rekod baharu tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Ia juga kali pertama kes harian Covid-19 di Malaysia melepasi angka 5,000 sekali gus menyaksikan kes keseluruhan di Malaysia telah melepasi 200,000 iaitu 203,933 kes.
Sebelum ini kes tertinggi pernah dicatatkan ialah 4,270 pada 23 Januari lalu.
Semalam juga, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata Malaysia tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun jika berlaku senario terburuk Covid-19.
Beliau menjelaskan kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat jika jumlah kes Covid-19 terus meningkat.
”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.
“Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP lebih ketat,” katanya. – Malaysiapost

