Musuh Umno adalah DAP bukan Bersatu – Shahidan

0
2

MUSUH sebenar Umno adalah DAP, bukan Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Arau itu apa yang berlaku ketika ini terdapat segelintir pemimpin Umno yang kuat menghentam Bersatu dan PN. 

“Kalau nak jatuhkan kerajaan PN nak buat piihan raya dalam bentuk yang kita belum bersedia sama ada kita bersama PAS atau tidak, kita belum bersedia lagi menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh PAS. 

“Ada juga pihak mengatakan Umno boleh bersendirian, yang mana tidak logik kita berbuat demikian hanya berdasarkan pandangan dan sentiment kita sendiri,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebooknya malam ini. 

Menurutnya, kerajaan PN ditubuhkan apabila gerakan daripada dalam Umno menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan dan telah membuat pelbagai kerosakan kepada negara dan rakyat

“Untuk menumbangkan PH salah satu cara adalah parti pakatannya mesti keluar, bila parti itu keluar tumbanglah PH

“Bagi tujuan ini Umno beri sokongan terhadap Bersatu yang akhirnya PH tumbang selepas Bersatu bersama beberapa ahli-ahli PKR keluar dari menyokong PH,” katanya. 

Shahidan berkata, malangnya Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan Umno serta Barisan Nasional (BN) kemudian menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri yang akhirnya berjaya membentuk kerajaan dengan sembilan wakil Umno dalam Kabinet. 

“Kalau tak bersetuju biarlah dibuat keputusan secara bersama. Bukan secara menghentam di media sosial dan sebagainya.

“Kenapa bermusuh antara parti Bumiputera. Bagi saya prinsipnya perlu bersama dahulu baru berbincang pasal kerusi, tetapi yang jadi masalah ketika ini berbincang pasal kerusi dulu baru nak bersatu sebab tu sampai kiamat pun tak akan bersatu,” katanya. 

Menurutnya, antara yang jadi pertikaian adalah mengenai kerusi kawasan bekas ahli Umno yang melompat masuk Bersatu. 

“Kalau jatuh kerajaan PN bererti akan naiklah kerajaan PH, dalam PH ada lagi DAP, jadi mana hala tuju UMNO? 

“Dalam keadaan sekarang, kita memerintah tetapi masih ada ahli Umno tidak puas hati. Kalau tidak puas hati berjumpalah dan berbincang dengan sembilan wakil Umno dalam Kabinet bukan bergaduh dengan parti lain dalam PN, itu tidak betul,” katanya. 

Shahidan berkata, apa yang penting adalah mencari jalan untuk berbincang bukan terus menghentam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here