JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan Kod QR SmartHalal pada aplikasi telefon pintar bagi memudahkan masyarakat memperoleh status hahal produk atau perkhidmatan di pasaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia inisiatif hasil kerjasama strategik jawatankuasa bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Menurutnya, projek pertama kerajaan membabitkan aplikasi halal itu adalah bagi memudahkan pengguna memperoleh status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran dengan lebih cepat dan tepat, melalui teknik pengimbasan kod.
“Inisiatif ini juga akan memudahkan pemain industri untuk memperoleh pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal terkini lebih pantas, seterusnya dilihat mampu meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“JAKIM akan terus mengemaskini dan menambahbaik sistem SmartHalal ini agar sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan semua pihak,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Majlis itu disiarkan melalui Facebook JAKIM dan dihadiri Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir.
Beliau berkata, pengguna boleh membuat carian menggunakan Kod QR berdasarkan kategori dan skim seperti nama syarikat, premis makanan, produk farmaseutikal, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, logistik, makanan dan minuman, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan yang terkini peranti perubatan.
Katanya, pengguna perlu memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem Kod QR.
“Semoga inisiatif ini akan membawa manfaat yang besar kepada ummah seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia selaku peneraju pensijilan halal bertaraf dunia,” katanya. – Malaysiapost

