PKP: ‘Rakyat dihukum, menteri terus bebas langgar SOP’ – AMK

0
1

ANGKATAN Muda Keadilan hari ini mempersoalkan layanan berat sebelah berhubung arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antara rakyat dan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, lebih membangkitkan kemarahan ramai apabila menteri dilihat sewenang-wenangnya melanggar SOP sedangkan berusaha mematuhinya.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelanggaran SOP dapat dilihat melalui lawatan kerja Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi pada 24 Januari lalu yang turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

“Berdasarkan maklumat atau tentatif yang saya terima serta gambar-gambar dimuat naik di Facebook Menteri kewangan, aktiviti semasa program tersebut jelas melanggar SOP am PKP yang dikemaskini pada 22 Januari.

“Ia berhubung arahan tidak membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta termasuklah aktiviti seperti mesyuarat, bengkel pameran, serta aktiviti lain yang berkaitan.

“Malah lebih membimbangkan, Datuk Seri Rina Harun telah disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari yang lalu turut hadir. Jika mengikut tempoh standard kuarantin iaitu 14 hari, tempoh kuarantin beliau sepatutnya berakhir pada 25 Januari 2020,” katanya di Facebook, hari ini.

Akmal berkata, perkara itu disifatkan sebagai tindakan amat tidak bertanggungjawab oleh Menteri yang berpotensi menyebar virus kepada umum.

Beliau berkata, pelanggaran SOP secara terbuka oleh menteri lain juga pernah disuarakan sebelum ini, seperti rombongan rentas negeri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Johor pada 17 Januari lalu.

Katanya, sebaliknya tindakan berbeza dikenakan terhadap rakyat biasa berhubung pematuhan SOP itu.

“Seperti yang berlaku di Segamat, Johor, apabila seorang wanita dikatakan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebaik sahaja turun dari kereta yang diparkir dihadapan kafe (dia) segera disaman, walaupun terdapat bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) bahawa kawasan tersebut lengang,” katanya.

Akmal berkata, ini adalah sebuah pendekatan yang ‘berat sebelah, dua darjat dan perlu diubah segera’ .

“Ketika rakyat segera diambil tindakan, menteri bebas melanggar undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here