31,716 pelajar disahkan pembawa penyakit talasemia

0
2

SERAMAI 31,716 pelajar tingkatan empat dikesan sebagai pembawa penyakit talasemia sejak 2016.

Statistik juga menunjukkan bahawa seramai 464 orang dalam 10,000 pelajar tingkatan empat yang disaring adalah pembawa talasemia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan ujian saringan talasemia pelajar tingkatan empat pada 2016 di sekolah.

“Setakat ini seramai 729,994 ibu bapa telah memberi kebenaran kepada anak mereka untuk menjalani ujian saringan talasemia dan 689,460 pelajar sudah disaring dan daripada jumlah itu 31, 716 pelajar dikesan sebagai pembawa talasemia

“Justeru kementerian menyeru kepada mereka yang telah mengetahui status talasemia supaya dapat berperanan sebagai ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan seterusnya memelihara keturunan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Kempen Kesedaran Thalassemia ‘Nowyouseeme’ 2021 di Putrajaya hari ini.

Majlis yang diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KKM itu turut disertai Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahya dan Pengarah Repsol Malaysia, Pablo Ortola Martinez.

Adham berkata, talasemia adalah penyakit genetik yang boleh dicegah dan bukanlah penyakit berjangkit.

“Individu yang mempunyai baka talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang normal, justeru fungsi sel darah merah akan terjejas dan pesakit memerlukan pemindahan darah secara berkala.

“Sehingga 28 November 2018 seramai 8,681 pesakit telah didaftarkan dan 7,240 pesakit masih hidup serta sedang menerima rawatan, manakala 130 pesakit telah sembuh dengan rawatan sel stamp,” katanya.

Menurutnya, justeru bagi mereka yang telah disahkan sebagai pembawa talasemia sebaiknya memilih bakal pasangan hidup dalam kalangan mereka yang tidak membawa baka atau gen penyakit berkenaan bagi mengurangkan risiko mendapat zuriat yang menghidap penyakit sama.

“Jadilah kalangan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi supaya anda mampu membuat pilihan dan sudah tiba masanya anda lebih bersikap terbuka dalam menyatakan sejarah kesihatan anda kepada bakal pasangan hidup anda,” katanya.

Beliau berkata, KKM berharap kerjasama mengadakan kempen kesedaran talasemia yang dilancarkan hari ini akan dapat mengurangkan kadar kelahiran bayi dengan talasemia pada masa akan datang.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here