TIGA jaringan pada akhir babak kedua mengesahkan kemenangan Tottenham Hotspurs ke atas kelab Liga Kejuaraan, Wycombe 4-1 pada pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.
Terdahulu, skuad bimbingan Jose Maurinho terpaksa bergelut mencari rentak apabila ketinggalan kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-25 menerusi kuisan Fred Onyedinma yang mudah menewaskan Joe Hart.
Tanpa kelibat Harry Kane, Son Heung-min dan Tanguy Ndombele, aksi Spurs agak tenggelam punca, namun berjaya mengikat kedudukan 1-1 seminit sebelum babak pertama berakhir menerusi Gareth Bale.
Pada babak kedua, Spurs mempamerkan taring sebenar dengan menguasai hampir keseluruhan permainan namun masih buntu mendapat gol pendahuluan.
Mourinho terpaksa memasukkan Kane, Son dan Ndombele bagi meningkatkan intensiti permainan Spurs.
Akhirnya pada minit ke-86 Spurs mendahului 2-1 setelah rembatan lencong Harry Winks menerjah jaring lawan.
Ndombele menjadikan kedudukan 3-1 selepas menolak bola masuk hantaran Heung-min dan kemudian melengkapkan kemenangan dengan rembatan jarak dekat pada minit akhir perlawanan.
Spurs bakal berdepan Everton dalam saingan 16 terakhir Piala FA, bulan depan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

