Pejuang akan ambil alih Kimma?

0
2

Aiman Hanif

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini dalam proses mengambil alih parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Menurut sumber yang juga orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan belum muktamad.

“Masih dalam rundingan lagi, belum muktamad. Kimma menawarkan kepada Pejuang.

“Perbincangan ini dibuat memandangkan usaha kerajaan untuk meluluskan parti Pejuang dilihat agak sukar.

“Bagaimanapun masih berharap agar permohonan parti Pejuang diluluskan,” katanya kepada Malaysiapost.

Pada Ogos tahun lalu, presiden penaja parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendaftarkan parti itu secara rasmi di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Mukhriz ketika ditemui media berkata, pihaknya sudah bersedia dan turut menyediakan logo parti iaitu berwarna biru ‘pantone’.

Katanya, dalam logo berkenaan terdapat tiga titik yang membawa maksud Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.

Bagaimanapun pada 7 Jan lalu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang memaklumkan yang pendaftaran Pejuang ditolak ROS.

Jelasnya pihak ROS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada 6 Jan atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

Dalam pada itu sumber berkata, selain Kimma parti Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali juga turut menawarkan parti mereka kepada Pejuang.

“Namun untuk ambil alih Putra agak sukar kerana parti itu terlalu ekstrim perjuangan Melayu mereka.

“Jadi, imejnya kini akan menyukarkan Pejuang jika mengambil alih Putra,” katanya lagi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here