Nasihat PM gantung Parlimen, Anwar fail semakan kehakiman

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan semakan kehakiman berhubung deklarasi darurat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Peguamnya, Ram Karpal Singh menjelaskan tindakan itu Anwar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengantung Parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu difailkan Anwar sebagai pemohon (selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Menurut Ram, responden-responden yang dinamakan adalah Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia.

“Perlu ditekankan bahawa apa yang dicabar dalam permohonan tersebut bukannya pengisytiharan darurat.

“Tetapi keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk menasihati KDYMM SPB Yang di Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.

“Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ram berharap satu tarikh pendengaran permohonan tersebut akan dapat ditetapkan secepat mungkin.

Berikutan pengisytiharan perintah daruat sehingga 1 Ogos 2021, Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang, manakala semua pilihan raya digantung.

Ordinan Darurat yang diwartakan pada 14 Januari lalu memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mentadbir negara sepanjang tempoh darurat.

Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata majoriti ahli Parlimen pembangkang dan beberapa daripada kerajaan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia bagi memohon kebijaksanaan baginda menilai semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri membabitkan proklamasi darurat. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here