MIC dipelawa menyertai Pakatan Harapan (PH) susulan kemelut mengenai isu cuti peristiwa Thaipusam di Kedah.
Pelawaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Mohd Sofi berkata, PH mengutamakan semua kaum tidak kira bangsa atau agama dan sudah tiba masanya MIC menyertai pakatan itu.
“Saya ajak MIC supaya bersama-sama keluar dan sertai PH kerana jelas PH kita utama semua kaum tidak kira bangsa dan agama.
“Jadi kalau (Presiden MIC) S Vigneswaran sudah sedar sikap PAS melalui menteri besar (Kedah) yang tidak hormat kaum dan agama lain dalam perjuangan politik, maka sudah sampai masa MIC sertai PH,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.
ISU membabitkan pemimpin MIC dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor timbul apabila pemimpin dari PAS itu menarik cuti peristiwa Thaipusam di Kedah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keputusan menarik semula cuti itu mendapat kecaman pemimpin MIC termasuk Vigneswaran dan Timbalannya, Datuk Seri M Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.
Mengulas lanjut, Mohd Sofi berkata, PH akan berbesar hati menerima MIC sebagai salah satu parti komponen.
“Saya yakin pimpinan PH berbesar hati dan sedia terima MIC sebagai salah satu komponen parti besar kerana kita PH tiada satu parti pun berjuang atas nama bangsa.
“Walau Amanah berteraskan Islam, tetapi kami adalah parti yang meletakkan asas perjuangan bukan hanya pada satu agama dan bangsa,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

