DAKWAAN Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam afidavit terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak memeranjatkan dan ia menggambarkan Inilah gelagat samseng oleh kerajaan.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkata ia hanyalah satu contoh “peras ugut” dan taktik samseng kerajaan direstui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.
“Soalnya, kalau Hamzah sebagai strategis dan “playmaker” nombor satu kepada (Tan Sri) Muhyiddin Yassin terpaksa guna taktik samsengan terhadap seorang ahli politik muda, apa agaknya senjata beliau gunakan terhadap musuh senior seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam satu afidavit difailkan di mahkamah, Syed Saddiq mendakwa Hamzah ‘memujuknya’ supaya menyokong kerajaan jika mahu pendaftaran parti Muda pimpinannya diluluskan.
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, perkara itu berlaku di Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan Belanjawan ketika beliau membincangkan perkara itu dengan Hamzah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berada bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
“Dia mengatakan setakat ini saya tidak pernah sebagai Ahli Parlimen yang mengundi menyokong Rang Undang-undang (RUU) kerajaan,” kata Syed Saddiq dalam afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman berhubung keengganan JPPM mendaftarkan Muda.
Syed Saddiq mendakwa, Hamzah seterusnya berkata walaupun menentang RUU kerajaan, beliau tidak seharusnya hadir sesi Dewan Rakyat ketika proses pengundian diadakan.
Mengulas lanjut, Kadir yang juga tokoh wartawan berkata dalam konteks saman dan aduan sivil seperti yang dibuat Syed Saddiq, kehakiman boleh membuktikan kepada masyarakat umum bahawa ia bebas dan akan bertindak ‘without fear and favour’.
“Dalam konteks inilah jugalah saya melihat pentingnya arahan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun, supaya mana-mana kes yang dimohon oleh mana-mana pihak untuk didengar beraskan sebab-sebab khas dan keadaan luar biasa perlu diberi keutamaan.
“Dan dalam nada sama saya harap pemindahan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada mahkamah jenayah ke mahkamah sivil tidak mengandungi apa-apa unsur mencurigakan kerana seorang hakim yang berwibawa boleh melakukan kebaikan tidak kira di mahkamah jenayah atau sivil.
“Berbalik kepada kerajaan PN, kalau ia yakin bahawa ia adalah kerajaan yang sah dan mengiktiraf kedaulatan undang-undang, ia tidak akan menghalang pendaftaran Muda, Pejuang dan mana-mana juga parti politik baharu,” katanya.
Awal bulan ini, Muda mengesahkan ROS menolak permohonan pendaftaran parti itu menerusi e-mel, namun tidak menyatakan sebab mengapa permohonan mereka sejak empat bulan lalu itu ditolak. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/07/ros-tolak-pendataran-muda-sehari-selepas-pembongkaran-skandal-tajuddin/

