Pergerakan Pedati Perak Thaipusam tahun ini tidak libatkan orang awam

0
1

PERARAKAN Pedati Perak Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves buat julung kalinya akan bergerak dengan 10 peserta tanpa melibatkan orang awam sempena sambutan perayaan Thaipusam tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19.

Perarakan itu, yang bermula pada 1983, lazimnya disertai 100,000 penganut Hindu dan mengambil masa kira-kira 16 jam, namun kali ini, pergerakannya lebih pantas serta dijangka berakhir dalam tempoh tiga jam tanpa berhenti di mana-mana lokasi.

Pengerusi Jawatankuasa kuil berkenaan Tan Sri R. Nadarajah berkata, 10 orang yang menyertai perarakan pedati setinggi 7.3 meter itu terdiri daripada pemandu, penjaga wayar kabel, penjaga lampu pedati, sami kuil dan lima ahli jawatankuasa kuil.

Pedati Perak yang membawa arca Dewa Murugan dan dua isterinya iaitu Dewi Valli dan Devi Theivanai akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee pada jam 2.30 pagi 27 Januari ini selepas upacara sembahyang.

“Pedati dijangka sampai ke Batu Caves pada jam 5.30 hingga 6 pagi hari yang sama. Ia akan berlepas kembali ke Kuil Sri Maha Mariamman pada jam 2.30 pagi 29 Januari,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, pedati itu akan bergerak ke Batu Caves, yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia setinggi 42.7 meter, tanpa alunan muzik tradisional dan tidak akan berhenti di mana-mana lokasi, selain dikawal ketat polis.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, hanya pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan ke Batu Caves dibenarkan dan bukan perarakan seperti kelaziman ketika sambutan Thaipusam sebelum ini.

Nadarajah berkata, pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang pergerakan pedati dan pada hari sambutan.

Beliau juga meminta penganut Hindu supaya tidak menyertai perarakan itu atau hadir ke kuil pada hari Thaipusam yang akan disambut pada 28 Januari ini dan berharap mereka memahami situasi negara yang kini berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here