KERAJAAN perlu memberi penjelasan kepada rakyat susulan laporan mengenai Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) berkaitan aktiviti ekonomi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir pada 4 Februari ini.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, timbul persoalan bagaimana pengesyoran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan Covid-19 diberikan kepada Eurocham Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Bukankah sepatutnya rahsia, terutamanya jika ia hanya pengesyoran dan belum lagi keputusan? Kemudian setelah ‘bocor’, di manakah penjelasan rasmi Kerajaan kepada rakyat?
“Khabar seperti ini yang disampaikan oleh pihak lain boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat Malaysia. Tambahan lagi, kes harian cecah 4,275 semalam, angka paling tinggi semenjak penularan. Hari ini kes masih tinggi pada paras 3,346,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata kerajaan perlu menjawab persoalan itu dengan segera dan jika tidak benar, kerajaan perlu menafikannya tetapi jika benar perlu berterus terang dengan rakyat.
“Berikan masa yang mencukupi untuk bersiap sedia jika memang ada niat mahu melaksana ‘lockdown’ yang lebih ketat.
“Kita tak minta untuk tahu seluruh butiran mesyuarat atau setiap perbezaan pandangan antara agensi atau Kementerian.
“Itu hal dalaman kerajaan yang telah dipertanggungjawab. Yang kita mahu adalah ketetapan rasmi dan strategi jelas yang mampu meyakinkan segenap pihak. Rakyat, pekerja, majikan – semuanya, mahu kepastian, bukan kekeliruan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kerajaan dijangka akan mengumumkan penutupan ekonomi sepenuhnya selepas 4 Februari, sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus tidak menunjukkan penurunan.
Perkara itu dimaklumkan Eurocham Malaysia dalam surat yang dikeluarkan kepada anggotanya.
Bagaimanapun Eurocham Malaysia dalam kenyataan terbaru menjelaskan kandungan surat dalaman yang tular tidak menyatakan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi akan dilaksanakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir pada 4 Februari ini.-Malaysiapost

