PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan lapan Ahli Parlimen parti itu termasuk beliau telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu pengisytiharan darurat dibatalkan.
Beliau berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengisytiharan darurat atas alasan keselamatan negara, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah langkah terbaik dan mencukupi untuk menangani penularan Covid-19.
“Jika lihat negara lain, mereka menggunakan langkah seperti PKP untuk membendung virus itu.
“Ia hanya perlu diperketatkan di kawasan tertentu. Kami tidak menuntut, tetapi hanya merayu kepada baginda kerana kami menghormati keputusan baginda.
“Tetapi, saya tidak fikir ia adalah masa yang sesuai (untuk melaksanakan darurat),” katanya selepas meninjau rumah penduduk yang rosak akibat ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru di Kota Kinabalu, lapor FMT.
Pada 17 Januari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar pengisyharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.
Langkah itu menyusul selepas beliau menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Yang di-Pertuan Agong membatalkan pengisytiharan darurat serta membolehkan sidang Parlimen diadakan. – Malaysiapost

