Kerajaan patut guna kuasa desak bank lanjut moratorium

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diharap dapat mengeluarkan arahan jelas kepada bank  untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman secara automatik kepada peminjam yang terkesan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini 

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan sepatutnya dapat memanfaatkan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk memastikan institusi kewangan memberi lanjutan moratorium secara automatik dengan kriteria tertentu kepada peminjam dan bukannya memberikan bank menggunakan pendekatan budi bicara.

“Berbanding PKP 1.0, rakyat hakikatnya lebih susah kerana ramai hilang pekerjaan, dipotong gaji ataupun dikurangkan elaun, manakala rata-rata perniagaan terjejas teruk malah gulung tikar akibat kelembapan ekonomi lantaran pandemik Covid-19. 

“Oleh kerana keadaan ekonomi negara dijangkakan akan turut terjejas kerana perlaksanaan PKP 2.0 dan proklamasi darurat, sektor perniagaan serta industri kecil dan sederhana antara yang paling terkesan dan belum pun sempat pulih setelah PKP pertama, pastinya akan memberi kesan gandaan negatif kepada ekonomi,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut Asyraf, meskipun moratorium diberikan sekurang-kurangnya enam bulan pada PKP 1.0,  sektor perbankan terus mencatatkan keuntungan besar pada tahun lepas. 

“Tidak dinafikan ada sedikit penurunan keuntungan sektor perbankan, tetapi jauh sekali mengalami kerugian.

“Rasional ekonomi terpenting ketika krisis adalah untuk memastikan rakyat boleh terus berbelanja agar kitaran wang terus rancak bagi memastikan permintaan dalam ekonomi berkembang, sekaligus mengelakkan pengucupan ekonomi. 

“Justeru, penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh masa tertentu boleh mengurangkan ketirisan keluar aliran kewangan daripada kitaran ekonomi hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menyukarkan proses pemulihan ekonomi itu sendiri,” katanya.

Asyraf berkata, perlanjutan tempoh moratorium secara automatik tidak akan membawa masalah kepada pihak bank. 

Ini kerana menurutnya, dalam laporan Bank Negara terbaru berkenaan Kestabilan Kewangan di bawah tajuk ‘Financial Institution Soundness and Resilience’ jelas menyatakan bahawa sektor perbankan di Malaysia berada dalam kedudukan modal yang ampuh dengan ‘Aggregate Capital Buffers’ berjumlah Rm121.6 billion. 

“Ini bermakna, sektor perbankan pada kedudukan yang kukuh untuk menyerap sebarang tekanan dan kerugian jangka pendek.

“Dengan kekukuhan sektor kewangan yang punya ketahanan modal yang kuat (well capitalised), kewajaran perintah moritorium secara automatik lebih utama bagi mengurangkan tekanan ekonomi dalam sektor ekonomi benar atau real econony (bukan kewangan) terutama yang melibatkan perbelanjaan kepenggunaan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here