SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini, menafikan poster dengan hastag ‘#SiBodohKauDengarSini’ di Twitter dikeluarkan oleh agensi itu.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM juga memberi amaran kepada orang ramai supaya berhenti menggunakannya.
“Poster berkenaan yang tular di media sosial mengandungi fakta kesalahan yang direka-reka meliputi aspek hukuman dan akta yang digunakan ke atas mereka yang melanggar amaran berkenaan,” kata kenyataan itu.
Hastag’#SiBodohKauDengarSini’ menjadi popular di Malaysia kelmarin, bermula dari rasa kecewa seorang pengguna media sosial terhadap kawalan waktu operasi kedai makan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0).
Seorang pengguna Twitter @farhanazahan telah merungut sebanyak dua kali apabila tidak dapat membuat pesanan makan malam.
Pengguna itu turut mengadu dia bukanlah seperti menteri yang memiliki pembantu rumah untuk menyajikan makanan apabila pulang dari bekerja.
Mengikut peraturan PKP, restoran atau kedai makan mesti menamatkan operasi pada jam 8 malam. Ini bermaksud perkhidmatan penghantaran makanan tidak lagi menerima pesanan seawal jam 7.20 malam.
Tindakan pengguna Twitter itu kemudian menarik perhatian pelbagai pihak untuk membuat hasutan maya, termasuk akaun parodi ‘Bawangmana’ yang mengeluarkan poster olok-olok berkenaan tanda Pagar tersebut.
Menerusi poster tersebut memaklumkan sesiapa yang didapati menggunakan tanda pagar itu boleh dikenakan tindakan mengikut ‘Seksyen 109 Akta Muhyiddin Tidak Ada Majoriti 2021’ yang kononnya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM35 juta atau kuarantin sehingga setahun.
Ia adalah sindiran kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya memperoleh sokongan 109 ahli Dewan Rakyat sekali gus meletakkan Presiden Bersatu itu kehilangan majoriti di parlimen.
Denda RM35 juta itu pula dipercayai merujuk kepada kos pembinaan tiga dewan orang ramai yang diluluskan untuk dibangunkan di Pagoh, iaitu kawasan diwakili Muhyiddin.
Sehubungan itu, SKMM akan segera mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih. -Malaysiapost

