“SAYA tahu hari ni adalah hari yang paling berat untuk awak daddy,” kata penyanyi, Siti Sarah kepada suaminya Shuib yang meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio di Hot FM.
Menurut Sarah, Shuib yang juga pelawak dan usahawan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan meninggalkan stesen radion tersebut.
“Saya tahu hari ini (semalam) adalah hari yang paling berat untuk awak. Lama awak fikir nak buat keputusan ini. Iyelah, dua tahun di Hot FM dan semua kat radio tu awak dah anggap macam famili.
“Ingat lagi, masa awal bincang fasal nak tinggalkan Hot FM. Awak sangat sangat sedih sebab cintakan kerjaya ini dan seronok kerja di sana.
“Sampaikan awak pernah cakap kerja kat Hot FM ini lain. Mereka menjaga awak dan menghormati semua pekerja,” katanya dalam hantaran di Instagram (IG) semalam.
Turut memuat naik video hari terakhir suaminya bertugas di konti, Sarah berkata dia memahami keputusan sukar yang perlu dibuat Shuib demi kelangsungan hidup dan masa depannya.
“Saya faham bila awak cakap hidup ini kita kena berkorban, apabila nak buat sesuatu yang lebih besar untuk masa depan.
“Saya nak beritahu apa pun awak buat, saya akan tetap ada dan sentiasa ada di belakang. Saya doakan bisnes kita akan terus berjaya dan bantu lebih ramai rakyat Malaysia yang sekarang ini berjuang untuk cari peluang kerja,” tulisnya lagi.
Semalam, Shuib membuatkan keputusan mengakhiri kerjayanya sebagai penyampai radio Hot FM selepas dua tahun berkhidmat untuk stesen radio itu.
Shuib memberitahui sebab utama keputusan itu dibuat kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dijalankan sekali gus menafikan dirinya dilamar stesen radio lain. -Malaysiapost

