Presiden iGuru kongsi persediaan, kaedah PdPR untuk guru, murid

0
1

Nurul Huda Abhar

GURU bukan sahaja perlu bersedia dari segi komitmen dan emosi, malah menjadi lebih kreatif bagi melaksanakan tuntutan pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, guru harus bersedia sekali lagi mengharungi proses pengajaran di rumah, dan beliau yakin warga pendidik cukup matang dengan pengalaman semasa sesi sama tahun lalu.

“Cuma cikgu perlu tingkatkan lagi komitmen dan kesungguhan untuk menyampaikan ilmu secara dalam talian dan paling penting murid itu sendiri perlu bersedia disebabkan telah diberikan tempoh cuti begitu panjang.

“Ibu bapa perlu menyokong anak-anak di rumah untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, sekiranya anak-anak menghadapi masalah berhubunglah dengan pihak sekolah khususnya guru untuk memastikan kaedah pembelajaran berkesan,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Mohd Azizee berkata, guru juga boleh menggunakan pelbagai medium untuk menyampaikan ilmu kepada murid sama ada menggunakan aplikasi WhatsApp atau Telegram.

Katanya, jika terdapat murid yang mempunyai masalah akses internet, guru perlu memikirkan cara yang lebih berkesan sama ada dengan menghubungi melalui telefon atau memastikan mereka atau ibu bapa datang ke sekolah untuk mengambil bahan pembelajaran dan kemudian mengembalikan kerja yang diberi.

“Jadi dalam hal ini yang paling penting ialah emosi guru dan murid. Walaupun kita ada pengalaman belajar secara dalam talian, yang paling penting adalah emosi guru kerana suasana pembelajaran di sekolah tidak sama belajar di rumah,” ujarnya lagi.

Menjawab persoalan mengenai kenyataan bahawa guru hanya memberi lambakan ‘kerja rumah online’ tanpa sesi pembelajaran, beliau berkata guru perlu lebih kreatif dan merancang proses penyampaian ilmu.

Di samping itu, katanya, kaedah yang digunakan perlu sesuai dengan kandungan ilmu atau subjek yang hendak disampaikan.

“Dalam hal ini guru perlu bijak dan menggunakan kreativiti masing-masing sebab kemampuan murid tidak sama.

“Lokaliti berbeza-beza sebab itu kalau sekadar memberi tugasan di rumah semata-mata tanpa proses pembelajaran yang terancang akan menyebabkan murid hilang semangat untuk belajar.

“Lambakan kerja berlaku bila mereka tidak dapat melaksanakan dengan sebaiknya kerana tidak faham sebab tidak menjalani proses pembelajaran dengan betul,” katanya yang berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Seremban.

Sementara itu, beliau berkata dalam PdPR guru perlu memahami bahawa tidak boleh menggunakan masa panjang semasa melakukan pembelajaran secara dalam talian.

Ini kerana, katanya, mengajar pelajar sekolah menengah tidak sama seperti mengajar murid di sekolah rendah.

Tambah Mohd Azizee, selepas 30 minit pertama murid akan hilang fokus jadi dari segi itu guru harus bijak menggunakan kaedah pembelajaran.

“Sebab itu kita boleh menggunakan YouTube, video, kartun dan sebagainya supaya pelajar kekal konsisten untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Jika guru menghadapi masalah akses internet, guru boleh meluaskan penggunaan TV Pendidikan di RTM, NTV7, dan Astro Tutor, jadi boleh manfaatkan medium ini untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan,” ujarnya.

Jelasnya, apa yang dibimbangi dalam pembelajaran PdPR kemungkinan berlaku keciciran pendidikan apabila pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian disebabkan masalah-masalah tertentu.

“Tiada kemudahan akses yang baik, tiada alat peranti, dan guru bersikap tidak serius dalam menyampaikan ilmu juga dibimbangi mendorong minat pelajar dalam pembelajaran menurun,” kata Mohd Azizee.

Semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat di seluruh negara akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mulai esok.

Sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here