PAKEJ Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan semalam, tidak memberi ‘tambahan tunai’ bagi membantu mereka yang kesukaran susulan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PERMAI dilihat masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah sekali gus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi ketika ini.
Presiden Umno itu berkata, sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini, cuma akan dipercepatkan.
“Ia tidak bersifat ‘contingency’ atau suatu tambahan tunai dalam membantu mereka berhadapan kesukaran PKP 2.0.
“Berapa lama bantuan bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan wang RM300 boleh membantu rakyat untuk terus bertahan dan kekal di rumah? ,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Semasa PKP 1.0 negara mengambil masa lebih lima bulan untuk mengurangkan kadar jangkitan yang cuma beberapa ratus kes sahaja ketika itu.
“Berapa lama pula agaknya untuk PKP 2.0 mengurangkan kadar jangkitan yang melebihi 3,000 kes setiap hari?
“Apatah lagi PKP 2.0 agak longgar dan lebih banyak aktiviti dibenarkan termasuk Taman Awam di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai.,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 harian antara 1,000 kepada 500 sehari.
“Kita menyambut baik KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.
“Namun pembayaran ini akan dibuat pada 26 Januari iaitu pada fasa pertama PKP 2.0 berakhir sedangkan rakyat memerlukan wang itu sekarang. Semasa mereka diarah mengurangkan pergerakan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pengumuman mengenai lanjutan moratarium yang akan diteruskan pula menerima rungutan banyak pihak.
“Kesulitan untuk mendapatkan moratorium satu hal. Tawaran pengurangan bayaran balik pula didakwa lebih menguntungkan bank berbanding peminjam.
“Mungkin sebab itu cuma kira-kira 1.3 juta permohonan yang diterima oleh pihak bank setakat ini.,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun pihaknya memahami beban kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk memberi bantuan lebih besar kepada rakyat.
“Sebab itu kita terus mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik kerana kita percaya bank masih mampu mencatatkan keuntungan disebalik kebertanggungjawaban sosial itu.
“Sebab itu kita terus mendesak kelulusan skim i-Sinar KWSP tanpa syarat dan bayaran dibuat pada kadar segera kerana wang itu adalah milik rakyat sendiri yang sangat-sangat diperlukan mereka ketika ini,” katanya.
Semalam, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, kerajaan mengumumkan PERMAI bernilai RM15 bilion.
Pakej bantuan terbaru itu akan dilaksanakan menerusi 22 insiatif dengan tiga matlamat, iaitu memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Ia adalah tambahan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan Covid-19 pada awal tahun lalu yang berjumlah keseluruhan RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). -Malaysiapost

