HARGA sayur di Kelantan naik akibat daripada musim banjir banjir yang melanda di negeri itu.
Perkara tersebut diakui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bahawa harga sayur-sayuran di sekitar bandar di Gua Musang mengalami kenaikan.
Bekalan sayur yang berkurangan terutama dari Cameron khususnya merupakan antara faktor kepada kenaikan tersebut, ditambah dengan musim banjir yang belum pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, kenaikan harga sayur itu kerana penutupan pasar besar di bandar ini.
Bagaimanapun, katanya kenaikan harga sayuran tidak terlalu mendadak dan masih mampu dibeli pengguna yang dijual di premis biasa termasuk pasar raya.
Pihaknya mengeluarkan lima notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga sayur bagi mendapatkan justifikasi kenaikan harga.
“Apapun hasil siasatan dan pemantauan yang kita lakukan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP tiga hari lalu tidak ada kenaikan harga barang melampau.
“Barang keperluan seperti beras, tepung gandum, telur dan roti putih mudah diperoleh di sekitar bandar ini,” katanya kepada pemberita yang membuat tinjauan.
Media sebelum ini menyiarkan pengguna mengeluh apabila harga pelbagai sayuran yang dijual di sekitar bandar ini melambung hingga hampir sekali ganda.
Malah, mereka bimbang harga itu mungkin naik lagi apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP dikuat kuasa di Kelantan.
Antara harga sayuran yang naik mendadak itu termasuk tomato, kubis, cili merah, timun, lobak, terung dan lada solok. -Malaysiapost

