DAP jadi ‘punching bag’ parti lain

0
1

PARTI pembangkang terutama DAP dilihat menjadi alat atau bahan kepada parti lain setiap kali berlaku perbalahan antara parti gabungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). 
Perkara itu digambarkan oleh Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang mendakwa setiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti PN, maka setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan. 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh berkata, pihaknya meneliti kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkaitan tiga sebab mengapa Umno perlu tolak DAP seperti yang dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily semalam. 
“Antara intipatinya, jika Umno berkerjasama dengan DAP, Umno akan kalah semua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Turut sependapat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) yang menggunakan alasan sama lantas mencetuskan Langkah Sheraton setahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Sheikh Umar berkata, tindakan parti yang ‘menunggang’ nama Melayu itu sangat melucukan kerana selepas ‘langkah Sheraton’, parti DAP sudah bukan lagi sebahagian dari kerajaan. 
“Tetapi tiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional ini, setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan. 
“Ini gambaran bahawa mereka sangat lemah, kononnya hebat tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman. 
“Apatah lagi dalam keadaan kerajaan yang ditadbir tanpa majoriti ini,” katanya. 
Menurutnya, semua pemimpin dan petugas akar umbi DAP sedang sibuk berkhidmat untuk rakyat pada masa kritikal ini terutama terpaksa berhadapan dengan banjir, Covid-19 dan tekanan ekonomi.
“Fokus DAP ketika ini ialah untuk istiqamah membantu rakyat dan membantu golongan kurang bernasib baik. 
“Bukan mencari pihak ketiga untuk dipersalahkan, bagi menutup kelemahan diri sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here