PEMUDA Umno Kota Raja mencadangkan supaya pemilihan parti diadakan segera dan ianya adalah jalan terbaik untuk menamatkan kemelut yang melanda parti itu ketika ini.
Ketua Pergerakannya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, berkata kemelut dalaman Umno tidak mampu lagi disorok dan sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan semula imej parti yang dilihat tercalar teruk dengan kemelut dan perpecahan.
“Tiga kumpulan wujud hasil dari perpecahan yang berlaku. Kumpulan yang mahu parti bergerak sendiri pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), kumpulan yang mahu kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan kumpulan yang mahu jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP.
“Apa pun yang berlaku, hala tuju parti mesti ditentukan segera dan pemilihan parti adalah jalan terbaik untuk menamatkan kemelut yang melanda,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, PRU-15 adalah talian hayat terakhir bagi Umno, menang kalah nanti adalah ukuran sejauh mana Umno masih relevan dalam dunia politik tanah air.
“Oleh itu , Pemuda Kota Raja mencadangkan agar pemilihan parti diadakan segera dan ianya merupakan jalan terbaik untuk menamatkan kemelut yang melanda.
“Sesiapa yang memenangi pemilihan nanti , beliau lah yang akan membawa suara majoriti hala tuju parti dan semua pihak dan pimpinan wajib akur dengan hala tuju yang dibawa,” katanya. -Malaysiapost

