‘Kerajaan menyusah, memperbodohkan rakyat’ – Anwar

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah meletakkan negara dalam lembah kegilaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu berkata, kerajaan seharusnya membantu rakyat untuk kembali percaya kepada kemampuan masing-masing dan cipta kekuatan baru dalam mengharungi kemelut hari ini sebagai bangsa yang bersatu padu.

“Malaysia sepatutnya telah berjaya, apa yang disebut sebagai ‘flattening the curve’ atau melandaikan lekuk dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan Covid-19.

“Sebaliknya, kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia.

“Sekiranya kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat, bagaimana mungkin mereka harapkan perkara yang sama. Apatah lagi untuk patuh SOP (prosedur operasi standard) yang sentiasa berubah setiap masa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pengumuman demi pengumuman yang dibuat kerajaan seolah tidak ada perancangan awal yang sering tidak jelas, langsung menginjak perasaan rakyat.

Sebaliknya, Anwar berkata dampak dari semua ini adalah panik dan ketidaktentuan.

“Muhyiddin telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil. Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong,” katanya.

Presiden PKR itu berkata, pemerintah hari ini minta rakyat untuk berkorban, tetapi belum nampak tanda-tanda yang kerajaan hari ini turut sama bergelut dan bersusah dengan rakyat.

Katanya, hari demi hari, kerajaan semakin hilang wibawa dan keyakinan semakin payah untuk dipulihkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol. Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan. Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar jangan putus asa dan pada masa yang sama meruskan tingkatkan disiplin diri dengan mematuhi SOP.

“Jaga kesihatan masing-masing supaya dapat kita redakan sedikit sistem kesihatan kita dan beri sedikit ruang untuk wira-wira kita di barisan hadapan untuk bernafas. Sikap mulia begini adalah yang paling mudah untuk praktikkan, dan ia secara tidak langsung akan menguatkan komitmen kita dalam mencari jalan keluar dari kemelut ini.

“Saya menggesa kita semua untuk tingkatkan peranan masing-masing dan kerajaan harus bekerja lebih untuk kembalikan keyakinan. Rakyat sedang menderita. Saya mendoakan kita jangan putus asa dan terus berusaha,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here