JALAN ke pusat peranginan Bukit Fraser melalui Raub ditutup sejak dua hari lalu kepada semua kenderaan di atas faktor keselamatan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata, penutupan itu selepas perbincangan bersama pihak berwajib termasuk jurutera daerah memandangkan terdapat beberapa lokasi berpotensi mengalami tanah runtuh jika cuaca buruk.
Perkara itu juga telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Pahang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang turut bersetuju dengan keputusan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Mereka yang tinggal di Bukit Fraser tidak perlu bimbang dengan penutupan jalan itu kerana mereka boleh turun mendapatkan bekalan makanan atau bagi urusan lain menggunakan laluan Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Berikutan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sudah memaklumkan pegawai di Balai Polis Bukit Fraser untuk memudahkan urusan mereka yang ingin mendapatkan permit merentas negeri bagi tujuan itu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Kama Azural berkata, sepanjang penutupan jalan itu, hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan menggunakan laluan itu bagi situasi kecemasan.
“Namun mereka perlu memaklumkan pihak polis terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, jalan berkenaan hanya akan dibuka semula apabila pihak berkaitan berpuas hati dengan tahap keselamatan laluan itu. -Malaysiapost

