Nilam Oshman
MASIH ingat lagi dengan peniaga orang kurang upaya (OKU) yang gigih mencari rezeki dengan menjual Nasi Lemak Bujang?
Mohd Noor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dekk Mat, 29, yang cacat kedua-dua tangan sejak lahir pernah tular di media sosial atas kecekalan mencari rezeki.
Lantaran kegigihannya itu, beberapa kenamaan termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengunjungi gerai jualannya bagi meninjau sendiri perniagaannya.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak kelmarin, Dekk Mat mengakui turut terjejas kerana kekurangan pelanggan menyebabkan dia terpaksa mengurangkan jumlah jualan nasi lemaknya.
Bagaimanapun, sebagai peniaga kecil, pemuda itu bersyukur kerana masih dibenar meneruskan perniagaan setiap hari bermula jam 7.45 pagi hingga 12 tengah hari di gerainya di Amber Busssines Plaza di Cheras.
Ketika dihubungi Malaysiapost, Dekk Mat berkata setelah dua hari PKP, perniagaan masih lancar cuma pada waktu ini, dia hanya menjual 30 bungkus nasi lemak berbanding 50 bungkus sebelum ini.
Katanya, jika terdapat pesanan, barulah dia akan menyediakan lebih.
“Dua hari PKP ni, alhamdulillah masih okay, perniagaan berjalan seperti biasa… orang masih datang membeli. Cuma saya kurangkan sedikit kuantiti nasi lemak kepada 30 bungkus.
“Sebelum PKP, dalam 50 hingga 100 bungkus sehari. Kita ikut pada pesanan pelanggan,” katanya.
Beliau berharap, situasi PKP kali ini lebih baik berbanding ketika dia mula berniaga pada Julai tahun lalu.
“Mula-mula berniaga dulu dapat jual 20 hingga 30 bungkus saja,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP untuk tempoh 14 hari bermula sehingga 26 Januari 2021.
PKP dikuatkuasa di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. – Malaysiapost.


