Covid-19: Pendaftaran untuk suntikan vaksin dibuka tak lama lagi

0
2

PENDAFTARAN untuk orang ramai menerima vaksin Covid-19 di negara ini akan dibuka tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba.

Dr Adham berkata, kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 70 peratus populasi atau 23 juta orang bagi membentuk imuniti berkelompok.

Mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, katanya, pemberian vaksin akan dilaksanakan dalam tiga fasa:

Fasa 1 – barisan hadapan
Fasa 2 – kumpulan berisiko tinggi (penyakit kronik) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas
Fasa 3 – orang awam berumur 18 tahun ke atas

Dr Adham berkata, vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia akhir bulan depan, telah diberi kelulusan bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Selain Malaysia, 49 negara lain juga telah memberi kelulusan malah ada negara telah pun mengguna vaksin itu, katanya ketika menjadi tetamu program Bicara DR di RTM malam tadi.

Untuk rekod, vaksin Pfizer adalah vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

Dr Adham berkata, empat matlamat imunisasi Covid-19 ialah melindungi petugas barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok serta memutuskan rantaian jangkitan.

Mengenai penerimaan rakyat terhadap vaksin Covid-19, beliau berkata, tinjauan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati sebahagian besar rakyat setuju.

Tinjauan dalam talian pada 21 Disember hingga 28 Disember 2020 itu disertai 212,000 responden dengan 67 peratus setuju (90% yakin vaksin berkesan), 17 peratus tidak pasti dan 16 peratus tidak setuju.

“Bagi 17 peratus yang tidak pasti itu pula kerana risau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin.

“KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari semasa ke semasa untuk mengetahui peneriman rakyat,” katanya.

Beliau menambah, setakat 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia telah disuntik vaksin Covid-19.

“Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia. Namun, vaksin bukanlah penyelesaian. Selepas disuntik, kita masih perlu mempratikkan norma baharu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here