Tiada Kluster ‘Barber’, kenapa kena tutup kedai gunting rambut?

0
1

Nilam Oshman

PERSATUAN Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan
meluahkan rasa terkejut dan tidak berpuas hati atas keputusan kerajaan tidak membenarkan sektor perniagaan itu beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden lnya, Akilan Anandakrishnan berkata, rata-rata peniaga amat hairan dan tidak memahami keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

“Sebenarnya kita terkejut kerana PKP sebelum ini, kita dah ikut prosedur operasi standard (SOP) dan tidak pernah ada kluster berkaitan Barber, pendandan atau salon rambut setakat ini, tapi kita hairan dan tak faham kedai gunting rambut kena tutup.

“(Sehingga hari ini), masih lagi semua orang (peniaga kedai gunting rambut) rasa terkejut… padahal kedai gunting rambut yang paling patuh SOP.

“Setiap pekerja perlu pakai sarung tangan, pelitup muka.. jadi kita tak tahu mengapa kedai (gunting rambut) kena tutup,” katanya kepada Malaysiapost.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi pasar malam, bazar larut malam, kedai pakaian, dobi layan diri, cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi adalah dilarang.

Ia susulan pengumuman PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) sehingga 26 Januari 2021.

Ketika ditanya sekiranya PKP berlanjutan sehingga dua atau tiga bulan, Akilan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kedai gunting rambut terpaksa gulung tikar.

Katanya, PKP sebelum ini pun ramai yang tidak dapat meneruskan perniagaan terutama kedai yang baru dibuka.

“Memang banyak yang tutup kedai kerana dalam keadaan sekarang sesiapa pun akan terkesan. Dari pemerhatian saya, kedai-kedai yang baru buka banyak yang dah tutup,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan melonggarkan SOP demi kelangsungan hidup peniaga kedai gunting rambut ini.

“Jika ada apa-apa SOP yang perlu ditambah baik, kerajaan boleh cadang kepada kita. Kalau kedai tak boleh buka kita susah hati sebab tak dibenarkan berniaga,” ujarnya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Suanie

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here